Monday, June 9, 2008

Kisah dari seorang sahabat..

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim aku menulis kisah ini.. agar menjadi teladan dan pengajaran buat saudara-saudara seislamku… InsyaAllah..
Kutulis kisah ini dengan niat yang ikhlas agar saudara-saudariku yang tidur terbangun dari lena dan kelalaikan yang panjang…

"Sesungguhnya nilai perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang, ganjaran yang sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah kerana menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya, nescaya hijrahnya diterima oleh Allah dan Rasul-Nya (dan diberi pahala), dan barangsiapa yang hijrahnya kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya sampai kepada niatnya itu."
(HR. Bukhari dan Muslim)

Aku, Firdaus, dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berada yang menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berada membuatkan aku sedikit lalai dalam hidupku. Banyak masa yang kuhabiskan untuk berhibur yang membuatkan aku lalai dari mengingatiNya. Ake bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama penuh yg terkemuka di Malaysia. Dengan wajah kacak dan susuk tubuh yang gagah, hidupku tidak pernah kering dari menerima 'persahabatan' dari gadis-gadis seusiaku mahupun gadis-gadis yang lebih tua atau lebih muda dariku. Aku sering dihujani oleh surat-surat dari gadis-gadis yang ingin menjadikan aku abang atau adik angkat mereka. Aku menerima pelawaan mereka dengan penuh girang dan rasa seronok. Aku rasa amat bertuah kerana memiliki wajah yang kacak dan tampan. Dengan jawatan yang tinggi di sekolah iaitu sebagai Ketua Pengawas, dapat kurasakan bahawa aku memiliki segala-galanya di dunia ini. Aku mula rasa bongkak, aku mula merasakan akulah lelaki yang terbaik, aku adalah impian setiap wanita.

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."
Surah Luqman (Ayat 18)

Aku sering melanggar batas-batas syarakNya dalam 'bersahabat' dengan gadis-gadis. Setiap gadis akan kulayan dengan penuh 'gentleman' dan kelembutan. Kerelaanku melayani perminataan gadis-gadis membuatkan mereka makin berani mendekatiku lantas melanggar larangan Allah yang melarang kita menghampiri zina apatah lagi berzina. Aku suka melihat gadis-gadis itu berasa gembira apabila aku melayani mereka. Aku pula lupa tentang Allah apabila aku mengenangkan keletah gadis-gadis tersebut.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."
Surah An-Nur (Ayat 30)

Peribadi seorang wanita muslimah sejati yang sepatutnya menghiasi diri dan menjaga maruah gadis-gadis itu hilang dengan kata-kata manisku. Sifat malu yang sepatutnya menjadi hijab antara lelaki dan perempuan hilang sekelip mata. Aurat yang sepatutnya ditutup bagi menjadi pelindung kepada maruah diri dibuka dengan sewenang-wenangnya. Pakaian yang mendedahkan bentuk badan menjadi perhiasan sehari-hari. Suara yang sepatutnya disimpan untuk keperluan dan untuk mahram didedah dengan harapan agar aku tergoda kepada mereka. Di manakah maruah seorang muslimah yang menggelarkan diri mereka muslimah? Apakah erti muslimah? Seorang wanita beragama Islam. Apakah erti anda beragama Islam? Mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. Adakah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan mendapat keredhaanNya? Tidak sama sekali.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kalu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang BERIMAN, supaya kamu berjaya."
Surah An-Nur (Ayat 31)

Tidak pernah aku menghampakan permintaan gadis-gadis untuk keluar bersamaku walaupun berdua-duaan, atau bergayut di telefon denganku berjam-jam lamanya, dan menaburkan kata-kata janji manis kepada mereka. Aku telah melalaikan gadis-gadis itu dan diriku sendiri. Aku melakukan segala-gala perkara yang dilarang oleh Allah. Aku hanyut. Pabila kulayan gadis-gadis itu, kupenuhi permintaan mereka, mereka menjadi lebih berminat kepadaku. Dengan kata-kata manja dan lunak suara yang merdu membuatkan aku hanyut dan tidak dapat khusyuk dalam solatku. Inginku bermuhasabah diri mencari ketenangan yang hilang sejak aku menjadi hamba kelalaianku sendiri tapi aku makin hanyut. Aku lemah dengan bisikan-bisikan syaitan yang mengajakku mendekati zina. Aku ingat akan hadis Nabi yang menyatakan bahawa fitnah paling besar kepada kaum lelaki adalah wanita. Aku tahu bahawa tidak sepatutnya aku bergaul mesra dengan mereka. Aku tahu aku tidak sepatutnya bergaul mesra dengan wanita tetapi aku tidak mengaplikasikan pengetahuanku. Hasilnya, hidayah Tuhan itu makin jauh dariku dari hari ke hari. Hatiku makin gelap. Aku hanya mempamerkan ke'aliman'ku padahal aku sebenarnya tidak begitu. Ya Allah, berpura-puranya aku.

"Engkau akan menemui seburuk-buruk manusia di sisi Allah nanti pada hari Qiamat, iaitu orang yang bermuka dua. Orang yang datang kepada satu golongan dengan satu wajah dan datang kepada golongan yang lain dengan wajah yang lain pula."
(HR. Muslim dan Abu Daud)

Setiap waktu, terbayang-bayang wajah mereka di mataku, dapat pula kubandingkan yang mana satu antara gadis-gadis itu yang lebih menawan dan mempesona. Aku hilang di balik igauan suara manis dan manja seorang gadis. Aku makin hanyut dalam hidupku sehinggalah aku ke menara gading.

Menemui alam universiti, aku makin lalai. Aku bertemu dengan seorang gadis ayu yang bernama Maisarah. Aku terpikat dengan kecantikan dan kelembutan Maisarah. Aku makin gembira apabila aku mengetahui Maisarah berada dalam kelas yang sama denganku. Dengan gaya sopan dan femininnya saja dapat membuatkan jantungku berdegup kencang. Sering kulemparkan pandangan menggoda kepadanya semata-mata untuk membuatkan dia terpikat hati kepadaku. Maisarah juga begitu. Sering memandang dan merenungku. Pandangannya yang tajam membuatkan hatiku menjadi tidak keruan.

Rasulullah bersabda kepada Saidina Ali:
"Ya Ali, janganlah kamu ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya hanya pandangan pertama sahaja (terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua."
(HR. Imam Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, dan Al Hakim)

Bahayanya pandangan mata menyebabkan Islam melarang lelaki dan perempuan dari saling memandang kerana dari pandangan mata maka hati akan berdetik memikirkan tentang orang yang memandang lalu melalaikan hati dari mengingatiNya dan membuatkan hati ini dinodai maksiat. Dari mata turun ke hati. Pandangan mata yang bernafsu adalah perkara yang telah melalaikan aku. Aku hanyut dalam pandangan dan cinta Maisarah.

Pada suatu hari aku memberanikan diri untuk menegurnya. Aku sedar bahawa Islam melarangku menghampiri zina dan dengan menghulurkan salam perkenalan atas dasar nafsu, aku sebenarnya telah menghampiri zina yang sesungguhnya dilarang keras oleh Allah dan Rasul-Nya. Namun, gelojak hatiku ini yang meronta-ronta ingin berkenalan dengannya membuatkan aku lalai dihanyut nafsu. Dengan wajahku yang menjadi kegilaan gadis-gadis, aku yakin bahawa Maisarah akan terpaut hati denganku. Dan lamaranku untuk bersahabat dengannya berbalas. Aku mula rapat dengan wanita yang merupakan bukan mahramku. Setiap hari, kami akan duduk bersama untuk berdiskusi tentang pelajaran di kelas, berdua-duaan makan bersama, bergurau-senda, dan keluar bersama. Terkadang, aku lalai apabila memandang Maisarah. Aku lupa kepada Penciptaku.

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di suatu tempat dengan seorang wanita tanpa mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentu syaitan."
(HR. Imam Ahmad dr Jabir r.a.)

Maisarah melayanku dengan penuh manja dan lemah-lembut. Kami menjadi terlalu rapat. Aku sering menelefon Maisarah untuk berbincang tentang pelajaran tetapi lama kelamaan topik perbualan kami bertukar angin kepada perkara-perkara yang bukan-bukan dan melalaikan. Aku juga semakin berani untuk menelefonnya sehingga ke waktu larut malam. Sekali aku mendengar suaranya yang manja di telefon, terasa ingin selalu kumenelefon Maisarah. Aku ketagih untuk mendengar suaranya. Bisikan-bisikan syaitan yang semakin kuat membisikkan kepadaku agar aku sering menelefon Maisarah kuturut kerana hati ini telah kotor dengan maksiat-maksiat hati yang sering membayangkan tentang Maisarah.
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
Surah Al-Israa' (Ayat 32)

Hati seorang lelaki beriman dan berfikiran waras yang sepatutnya diisi dengan zikrullah bagi mejadi sumber kekuatan dalam berjihad dan sumber ketenangan di waktu kegelisahan telah kuisi dengan kata-kata Maisarah, bayangan wajahnya, lembut bicaranya, dan tidak kurang juga dengan bayangan dirinya. Ah, kotornya hati seorang lelaki yang tidak menjadikan Allah sebagai perkara paling utama dalam hidupnya dan tidak menjadikan sunnah Nabi sebagai amalan sehari-hari. Aku telah dilalaikan oleh wanita dan melalaikan wanita. Wanita yang telah Allah jadikan dari tulang rusuk lelaki yang bengkok yang sepatutnya dipimpin oleh kaum lelaki kerana keluasan akalnya telah dilalaikan oleh aku yang sepatutnya mengajak manusia mendekati Tuhannya dan bukannya menjauhi rahmat Tuhannya.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
Surah Al-Baqarah (Ayat 42)

Aku sanggup menghabiskan duit beratus-ratus duit prepaidku semata-mata hendak menelefonnya dan bersms dengannya. Dia juga begitu. Kami bergurau-senda tanpa menjaga batasan-batasan syarak. Aku sering tergoda dan leka dengan kecantikan Maisarah, alunan suaranya yang lembut, dan pandangan matanya yang menggoda. Aku sering termimpi-mimpikan Maisarah tidak kira pada waktu siang atau malam. Aku menjadi tidak tentu arah. Mandi tak basah, tidur tak lena, solat tak khusyuk, hidup tak tenteram. Aku perlukan Maisarah. Dialah segala-galanya dalam hidupku. Tidak dapat kusangkal lagi bahawa aku telah jatuh cinta kepada Maisarah. Cinta yang tidak diredhai oleh Tuhanku.

Pada suatu hari, aku meluahkan perasaan cintaku kepada Maisarah. Dengan mudahnya dia menyatakan kepadaku bahawa dia telah mempunyai tunang di kampung. Alangkah hancurnya hatiku. Selama ini, dia yang aku bangga-banggakan, dia yang aku harapkan, dan banyak telah kukorbankan untuknya semata-mata bagi mengemis cinta seorang insan. Tidak kusangka, layanan mesranya selama ini hanya sebagai 'rakan.' Aku mula menjauhi Maisarah dan semua perempuan kerana aku amat kecewa dengan insan yang bernama wanita.

Perasaan dendam dan kecewaku akibat cinta itu lama-kelamaan hilang dengan zikrullah yang menjadi penenang jiwa. Aku mula mengasingkan diri dan mempelajari ilmu-ilmu agama bagi mengisi kekosongan jiwa. Aku mula sedar betapa sempitnya pemikiranku dahulu dan betapa jahilnya aku tentang agamaku sendiri. Aku mula sedar tentang erti pergaulan dalam Islam yang tidak menghalalkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Hanya perkara-perkara penting sahaja yang membolehkan komunikasi antara lelaki dan perempuan. Aku mula meluaskan pandangan mata hatiku yang sempit ini dengan mempelajari hukum-hukum Allah yang sepatutnya aku pelajari sejak dulu lagi. Dan kini kusedar bahawa cinta manusia itu tidak kekal dan cinta sejati itu hanya ada pada Rabbi. Aku kini sedar bahawa cinta sejati sesama manusia itu hanya layak merajai hati ini dengan lafaz nikah yang mulia.

"Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah"
(HR. Ibnu Majah)
Alhamdulillah, janji Allah bahawa sesungguhnya dalam kesusahan itu ada kesenangan terbukti. Dengan penolakan cinta Maisarah, hatiku telah terbuka untuk mendekati agamaku yang telah kuanuti sejak lahir namun tidak pernah kuselami dan kusentuh bagi menjadi wadi kalbuku.

"Inna ma'al 'usri yusra." (bahawa tiap-tiap kesusahan disertai kesenangan)
Surah Al-Insyirah (Ayat 6)

Dalam dunia hari ini, realiti persahabatan dan percintaan telah lari jauh dari kehendak dan pandangan Islam. Muda-mudi masa kini sering leka dan tidak sedar hakikat sebenar percintaan dalam Islam. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah perkara haram yang telah menjadi perkara normal maka telah mendapat status harus. Persahabatan yang terbina atas nilai ukhuwwah dalam Islam itu lebih baik dari persahabatan yang melanggar batas-batas hukum Allah. Ingatlah bahawa perkahwinan yang dibina tanpa mardhatillah itu sukar untuk memperoleh kebahagiaan. Dengan menjauhi zina, hati akan terpelihara dan maruah akan terjaga. Kini aku menjadi lebih tenang dengan hanya mengingati Tuhanku. Sesungguhnya bagi orang-orang yang memelihara maruah diri dan agama mereka telah Allah janjikan ganjaran yang besar dan sesungguhnya janji-janji Tuhan itu tidak lain adalah benar. Sesungguhnya, cinta Tuhan itu lebih baik dan mengatasi nilai cinta manusia.

"Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina); Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."
Surah Al-Ahzab (Ayat 35)

Aku kini menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam dan dalam doaku setiap hari kuselitkan harapanku untuk bertemu dengan seorang wanita solehah yang bakal menjadi penghibur hatiku dan bidadariku di dunia ini serta melahirkan zuriat yang soleh dan solehah untukku. Amin.

Ya Allah,
Kau ampunkanlah segala dosaku kepadamu,
Kau dekatkanlah hati ini kepadamu,
Kau kurniakanlah cahaya rahmat dan hidayahmu kepada hati ini,
Kau temukanlah aku dengan seorang wanita solehah yang dapat memberi ketenangan kepada kepada hati ini dan melahirkan zuriat soleh dan solehah yang bakal berjihad di jalanMu,
Kau jauhkan aku dari maksiat hati Ya Allah,
Kau jauhkan aku dari fitnah wanita Ya Allah,
Kau jauhkan aku dari sifat lalai dari mengingatiMu,
Kau tenangkanlah hatiku ini,
Semoga aku menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur dan redha atas segala ketentuanMu…
Amin ya Rabbal 'Alamin…

No comments: